Psikologi & Strategi Trading

Market Tengah Merah. Nak Buat Apa Sementara Tunggu Disember?

Market merah buat kita serba salah. Nak jual, takut naik. Nak beli, takut jatuh lagi. Ini perkara yang trader boleh buat sambil bersedia untuk kemungkinan peluang hujung tahun.

8 minit bacaan
Trader menulis pelan persediaan sambil memerhati carta pasaran berwarna merah pada skrin
Kongsi WhatsApp Telegram

Bila market hijau, bukan main semangat kita.

Pagi-pagi dah buka TradingView. Watchlist penuh. Masuk group Telegram, semua orang ada saham nak cerita.

Tapi bila market merah beberapa hari, suasana terus lain.

Mula-mula kita cakap, “Biasalah, retracement.”

Jatuh lagi, kita pujuk diri, “Dah murah ni.”

Bila jatuh lagi, tiba-tiba keluar ayat, “Tak apalah. Simpan long term.”

Padahal masa beli dulu, niat nak swing dua tiga hari sahaja.

Pernah jadi macam ni? Haha.

Market jatuh memang boleh buat kita hilang arah. Nak jual, takut lepas jual dia naik. Nak pegang, takut dia jatuh lagi. Nak tambah, modal pula makin nipis.

Lepas tu ada orang cakap:

“Relaks. Nak masuk Disember dah. Disember biasanya bullish.”

Terus rasa lega sikit.

Tapi sebelum kita letak semua harapan pada Disember, ada beberapa perkara yang elok kita buat dulu.

1. JANGAN SIBUK NAK MENANG BALIK SEMUA KERUGIAN

Bila dah rugi beberapa kali, biasanya kita mula rasa geram.

“Aku kena cari satu kaunter yang boleh cover balik semua ni.”

Masa inilah kita mudah buat keputusan pelik.

Kaunter yang biasa kita tak pandang pun tiba-tiba nampak menarik. Setup belum cukup syarat, kita masuk juga. Saiz posisi pula lebih besar daripada biasa sebab nak cepat pulihkan akaun.

Masalahnya, market tak tahu kita tengah rugi. Dia tak ada tanggungjawab nak pulangkan duit kita.

Kalau kita masuk dengan emosi nak membalas dendam, kerugian kecil boleh jadi semakin besar.

Jeffrey A. Hirsch, dalam artikel yang diterbitkan oleh Fidelity, membincangkan pendekatan lebih defensif apabila keadaan pasaran menjadi negatif. Antaranya mengehadkan pembelian baharu dan memberi perhatian kepada pengurusan posisi serta disiplin keluar.[1]

Jadi, kalau market tengah susah, kita pun boleh perlahankan rentak.

Kurangkan trade. Semak posisi yang ada. Tengok sama ada risiko dalam akaun masih terkawal.

Tak perlu paksa diri cari untung setiap hari.

Kadang-kadang, berjaya elak satu trade yang tak berkualiti pun dah cukup baik untuk hari itu.

2. JANGAN BELI SEMATA-MATA SEBAB “DAH MURAH”

Saham jatuh daripada RM1 kepada 70 sen.

Kita tengok, “Wah, diskaun 30%.”

Tapi kalau daripada 70 sen dia turun lagi ke 49 sen, orang yang beli pada 70 sen masih rugi 30%.

Harga yang lebih rendah belum cukup untuk membuktikan sesuatu saham dah sesuai dibeli.

Kalau cara kita ialah trade ikut trend dan setup, kita kena kembali kepada syarat itu.

Trend dah berubah ke?

Tekanan jualan dah reda ke?

Ada struktur yang lebih elok ke?

Kalau beli, dekat mana kita nak mengaku idea kita salah?

Kalau semua ini belum jelas, mungkin kita cuma tertarik dengan harga lama.

Kita ingat saham itu pernah RM1.50. Jadi bila nampak 70 sen, kita rasa macam jumpa barang murah.

Sedangkan market tak wajib bawa dia balik ke harga lama.

Hirsch turut mengingatkan tentang risiko menambah posisi yang sedang rugi, terlalu tertumpu pada beberapa pegangan dan menggunakan margin secara berlebihan.[1]

Nak tambah pegangan, biarlah ada alasan yang boleh dinilai. Jangan sekadar sebab kita tak sanggup tengok angka merah dalam akaun.

3. KALAU SETIAP PERGERAKAN HARGA BUAT KITA GELISAH, SEMAK SAIZ POSISI

Kadang-kadang kita rasa kita tak tahan dengan market.

Sebenarnya, kita tak tahan dengan saiz posisi sendiri.

Turun sikit, jantung laju. Nak makan buka carta. Nak tidur buka carta. Bangun tengah malam pun sempat tengok harga.

Kalau sampai macam itu, elok semak berapa besar risiko yang sedang kita tanggung.

Contoh mudah: beli 1,000 unit pada RM1.00, kemudian harga turun ke 95 sen. Perbezaannya RM50 sebelum kos transaksi.

Kalau beli 10,000 unit, perbezaannya dah jadi RM500.

Carta sama. Pergerakan sama. Tapi tekanan pada orang yang pegang boleh berbeza.

Sebab itu, sebelum entry, kira dulu kemungkinan rugi. Jangan kira kemungkinan untung sahaja.

Dan kalau guna stop order, fahamkan juga cara ia berfungsi. SEC menjelaskan bahawa harga pelaksanaan boleh berbeza daripada harga stop apabila pasaran bergerak pantas. Stop-limit pula boleh mengawal harga pelaksanaan, tetapi ada kemungkinan pesanan tidak terlaksana.[2]

Maksudnya, ada stop loss pun kita masih perlu fikir tentang gap, kecairan saham dan saiz posisi.

Ilustrasi perisai, checklist dan carta konseptual untuk pengurusan risiko
Sebab itu, sebelum entry, kira dulu kemungkinan rugi. Jangan kira kemungkinan untung sahaja.

4. HABIS TU, BETUL KE DISEMBER BIASANYA BULLISH?

Ada asas sejarah untuk pandangan itu, khususnya dalam pasaran saham Amerika Syarikat.

CME Group membincangkan November dan Disember sebagai bulan yang secara sejarah mempunyai kecenderungan prestasi yang baik. Ada juga fenomena yang disebut Santa Claus rally, melibatkan lima hari dagangan terakhir Disember dan dua hari dagangan pertama Januari.[3]

Cuma jangan sampai kita faham:

“Masuk Disember nanti semua saham akan naik.”

Tak begitu.

Santa Claus rally pun merujuk kepada satu tempoh tertentu sekitar hujung tahun. Ia bukan bermaksud sepanjang Disember market akan hijau.

Dan bila data itu melibatkan pasaran AS, kita tak boleh terus anggap corak yang sama mesti berlaku pada Bursa Malaysia.

Dalam artikel CME itu juga, prestasi Disember didapati berbeza mengikut keadaan pasaran sebelum memasuki bulan tersebut.[3]

Jadi, boleh ambil kira faktor musim. Boleh bersedia untuk kemungkinan rally.

Tapi jangan gunakan ayat “Disember biasanya bullish” untuk memujuk diri memegang saham yang dah jauh lari daripada pelan asal.

Kalendar boleh bertukar bulan. Setup saham kita tetap kena semak.

Ilustrasi kalendar Disember, watchlist dan pergerakan carta konseptual
Kalendar boleh bertukar bulan. Setup saham kita tetap kena semak.

5. KALAU NAK BERSEDIA UNTUK DISEMBER, BUAT WATCHLIST SEKARANG

Katakanlah market betul-betul kembali rancak nanti.

Kita nak buat apa?

Baru nak buka screener? Baru nak cari sektor? Baru nak belajar beza breakout dengan harga yang dah terlalu jauh naik?

Biasanya bila semua itu dibuat dalam keadaan tergesa-gesa, kita mudah terjebak dengan FOMO.

Nampak orang kongsi saham naik, kita ikut. Belum sempat faham kenapa beli, harga dah berpatah balik.

Sebab itu, masa market perlahan inilah kita boleh mula menyusun senarai pemerhatian.

Tengok saham yang masih bertahan berbanding indeks. Perhatikan yang mula membina base. Semak yang cuba kembali melepasi paras penting.

Ini semua calon untuk dikaji. Belum semestinya sesuai dibeli.

Bagi setiap calon, tulis syarat sendiri.

“Aku berminat kalau harga buat begini.”

“Aku nak tengok volume macam ini.”

“Kalau paras ini pecah, aku keluarkan dulu daripada senarai.”

Bila ada syarat, kita lebih mudah menunggu dengan tujuan.

Kalau setup tak jadi, tak perlu masuk. Kalau setup muncul, kita dah ada asas untuk menilainya.

Ilustrasi proses screening, semakan carta dan penyediaan trading plan
Screener bantu kita kecilkan senarai. Lepas itu, kita masih kena buat kerja analisis.

6. MARKET MERAH BUKAN BERMAKSUD KENA BERHENTI BELAJAR

Ini yang selalu jadi.

Masa market hijau, kita beria-ia nak belajar.

Bila market merah, terus hilang minat. Tutup TradingView. Senyapkan group. Janji nak sambung balik bila market dah okay.

Berehat itu boleh. Lagi-lagi kalau emosi dah penat.

Tapi kalau setiap kali market lemah kita terus tinggalkan proses belajar, bila market kembali rancak nanti kita mungkin ulang kesilapan yang sama.

Masih tak tahu nak pilih saham.

Masih bergantung pada orang.

Masih beli sebab nampak orang lain dah untung.

Masa market perlahan boleh digunakan untuk buat kerja yang kita selalu tangguh.

Buka balik jurnal trading. Tengok entry lama. Semak kenapa kita masuk dan kenapa kita keluar.

Ada tak trade yang kita beli terlalu lambat?

Ada tak kerugian yang membesar sebab kita ubah cut loss?

Ada tak saham yang kita beli hanya sebab takut terlepas?

Trade untung pun kena semak.

Adakah kita ikut proses yang baik, atau kebetulan masa itu semua benda sedang naik?

Untung sekali belum membuktikan cara kita betul. Rugi sekali pun belum semestinya bermaksud strategi kita tak boleh dipakai.

Kita kena tengok proses dan rekodnya.

Masa inilah juga boleh kaji carta lama, cuba paper trading dan belajar menggunakan screener dengan lebih kemas.

Tak perlu keluarkan modal untuk setiap benda yang kita belajar.

7. BUKA SCREENER PUN TAK SEMESTINYA KENA BELI

Ada orang buka screener dengan satu misi sahaja: mesti jumpa saham untuk dibeli hari ini.

Bila tak jumpa, dia longgarkan syarat.

Tak lepas tapisan pertama, ubah setting. Masih tak jumpa, ubah lagi. Sampai akhirnya ada juga saham keluar.

Padahal mungkin mesej yang patut kita terima hari itu mudah sahaja: belum banyak calon yang sesuai.

Screening boleh digunakan untuk memerhati keadaan pasaran.

Minggu ini ada berapa saham memenuhi kriteria kita?

Sektor mana yang kerap muncul?

Senarai calon makin bertambah atau makin pendek?

Saham yang muncul itu ada struktur yang elok, atau sekadar lantunan sekejap?

Bila kita buat secara konsisten, kita ada rekod untuk dibandingkan.

Kita boleh nampak perubahan dalam senarai sendiri, kemudian semak sama ada perubahan itu disokong oleh carta dan keadaan pasaran yang lebih luas.

Screener bantu kita kecilkan senarai. Lepas itu, kita masih kena buat kerja analisis.

Kalau hasil tapisan belum menarik, tutup dulu. Sambung esok.

Tak ada kewajipan untuk beli hanya sebab kita dah luangkan masa tengok market.

JADI, APA KITA NAK BUAT SEMENTARA MARKET MERAH?

Jaga modal yang ada.

Kurangkan keputusan yang dibuat sebab geram atau takut terlepas.

Semak kelemahan sendiri dan mula bina rutin yang boleh diulang.

Tentang Disember, kita boleh berharap keadaan bertambah baik. Tetapi sambil berharap, buat persediaan.

Kalau rally datang, kita dah ada watchlist dan tahu apa yang hendak dinilai.

Kalau rally tak datang, kita masih ada pelan untuk menunggu dan mengawal risiko.

Jangan sampai masa market merah kita tak belajar, kemudian bila market hijau kita terlalu sibuk mengejar.

Pusing-pusing, kita masuk semula dalam kitaran yang sama.

Belajar sekarang, supaya bila peluang muncul nanti kita lebih bersedia membuat keputusan.

Rujukan

  1. [1]Hirsch, Jeffrey A. “Managing Positions: When to Cut and Run, When to Take Profits.” Fidelity Investments.
  2. [2]U.S. Securities and Exchange Commission, Office of Investor Education and Advocacy. “Stop, Stop-Limit, and Trailing Stop Orders — Investor Bulletin.” Investor.gov.
  3. [3]Bauer, Scott. “Will Santa Claus Come to Wall Street?” CME Group, OpenMarkets, 2024.
Kongsi WhatsApp Telegram